...................

Saturday, 13 January 2001 01:40 PM

 

 

 

emel kami

 

 

PPR: PROJEK UNTUK RAKYAT ATAU UNTUK SIAPA?

Dalam Belanjawan 2001, RM 797 juta telah diperuntukkan bagi projek perumahan kos rendah atau projek perumahan mampu milik yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara. Daripada jumlah itu, RM 634.8 juta adalah untuk meneruskan projek PPR. Menurut Datuk Ong Ka Ting, dari projek itu 35,000 unit adalah pembinaan untuk Lembah Klang sahaja yang bertujuan untuk mengawal dan menempatkan semula setinggan.

Tetapi benarkah projek PPR itu adalah untuk rakyat marhein dan golongan bawahan yang kurang mampu untuk membeli atau menyewa rumah? Dari sumber yang tidak rasmi perumahan PPR sebenarnya disewakan kononnya kepada mereka yang berpendapatan RM 800 ke bawah dengan kadar sewa sebanyak RM 124.00 sebulan.

Projek ini yang dulunya dikenali sebagai PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) adalah diilhamkan oleh bekas TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di tempat tinggal penulis, kebanyakan penduduk di sini masih ingat upacara pecah tanah yang dilakukan oleh bekas TPM itu yang memang prihatin dengan masalah rakyat termiskin.

Tetapi apabila projek PPR itu siap dilaksanakan dan telah pun di isi oleh penghuni-penghuninya, maka Tun Daim dengan megahnya datang merasmikannya dan mengatakan kerajaan sekarang amat mengambil berat masalah kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah dan projek ini adalah satu dari buktinya. Tentulah agak ganjil bunyinya beliau berkata demikian sebab yang menjadi perhatiannya adalah tauke-tauke korporat yang mampu mengawal harga pasaran saham di BSKL. Agak sedih juga ketika itu bila teringatkan DS Anwar yang meringkuk di Sg. Buluh yang memecahkan tanahnya, orang lain pula yang menerima hasilnya. Atau seperti kata orang; lembu punya susu,sapi dapat nama.

Dari pengamatan penulis, projek PPR itu bukanlah dihuni oleh rakyat yang berpendapatan rendah seperti yang dirancang pada awalnya. Setiap pagi penulis lalu di kawasan itu untuk menghantar anak ke sekolah yang berhampiran dengan projek berkenaan. Apa yang terlihat saban pagi ialah kereta-kereta yang kelihatannya masih baru-baru terutamanya Proton Wira, Saga, Kancil,Tiara dan lain-lain memenuhi setiap ruang di kiri-kanan jalan di sepanjang jalan ke sekolah yang berhampiran dengan projek berkenaan. Acapkali penulis merasa terganggu dan tersekat di tengah jalan akibat banyaknya kereta. Lalu timbul soalan:” benarkah projek ini dihuni oleh masyarakat bawahan yang berpendapatan di bawah RM 800?

Lalu penulis teringat seorang kawan yang mempunyai kedai makan di sebuah taman yang kira-kira dihuni kebanyakannya oleh apa yang di sebut oleh Dr.Nordin Selat sebagai Kelas Menengah Melayu.Rakan tersebut mempunyai sebuah lori, sebuah Proton Iswara, sebuah Proton Wira dan sebuah motor Honda Cup.Satu hari selepas menjamu selera di kedai rakan tersebut, penulis pun bertanya di manakah dia tinggal. Katanya di rumah PPR dekat sekolah! Penulis mengerutkan dahi sambil berfikir “inikah orangnya yang menghuni projek perumahan PPR?

Memang, dari kajian rambang, di dapati rata-rata mereka yang mendiami perumahan PPR bukanlah dari kalangan miskin seperti mana di awal rancangan. Penghuni-penghuninya sekurang-kurang memiliki gaji melebihi RM 1000 sebulan dan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kereta. Jadi, di manakah penghuni-penghuni rumah setinggan Kuala Lumpur ditempatkan? Itulah sebenarnya PPR.Ia bukan lagi impian DS Anwar Ibrahim, tetapi telah menjadi milik Daim dan kroni-kroninya yang menempatkan para penyokong dan pembodek yang amat diperlukan terutama menjelangnya pilihanraya! Inilah sebenarnya penipuan yang nyata dan terang yang dilakukan oleh Barisan Nasional di siang hari!

Demang LD